Showing posts with label AKTIVITI. Show all posts
Showing posts with label AKTIVITI. Show all posts

5/03/2012

TENTATIF PROGRAM MINGGU ORIENTASI 2012

5/03/2012
(Jadual di atas tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan dari masa ke masa sepanjang minggu orientasi. Harap maklum)

Para pengunjung laman Prauniversiti SMK Khir johari, Tanjong Malim sekalian.

Untuk makluman anda sekalian, mulai kemasukan pelajar tingkatan 6 bawah pada 8 Mei 2012 ini, para pelajar akan melalui Sistem Pentaksiran STPM Baharu. Sistem ini hampir seluruhnya menyamai pelaksanaan sistem semester di IPT atau pusat matrikulasi. Para pelajarakan melalui  pembelajaran selama 15 minggu (tertakluk pada takwim persekolahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia) sebelum menjalani peperiksaan di setiap hujung penggal. Berbanding sistem STPM yang sedia ada iaitu peperiksaan berada pada penggal ketiga. Oleh itu beberapa perkara mungkin kurang jelas, apatah lagi sistem yang ada sekarang telah berlangsung sekian lama serta telah difahami sepenuhnya oleh orang ramai.

Mulai tahun ini, para pelajar yang ditawarkan ke tingkatan 6 bawah adalah dinasihati tidak mendaftarkan diri ke PLKN kerana pihak PLKN akan menyediakan kursus khas kepada anda selepas tamat STPM. Jika anda mendaftarkan diri di PLKN, bererti anda tidak berpeluang meneruskan pengajian di tingkatan 6 kerana nama anda tidak didaftarkan dalam calon-calon STPM untuk peperiksaan pengggal pertama 2012 yang akan berlangsung pada 5-8 November 2012.

Bagi calon-calon yang bercadang untuk bertukar aliran atau berpindah sekolah, sila rujuk prosedur perpindahan dan pertukaran jurusan di portal Jabatan Pelajaran Perak atau terus download borang di sini. Sila buat salinan borang yang berkenaan sahaja. Perkara berkaitan dengan pertukaran aliran dan berpindah sekolah perlu diurus serta diselesaikan secepat mungkin kerana dibimbangi akan mengganggu proses pembelajaran para pelajar memandangkan tarikh peperiksaan yang sangat hampir.

5/02/2012

PELANCARAN KEMPEN BUDAYA 5S

5/02/2012
2 Mei - Selaras dengan Program Sekolah Penyayang, Pengurusan Prauniversiti SMK Khir Johari, Tanjong Malim pada hari ini telah melancarkan Kempen Budaya 5 S. 5S tersebut ialah Senyum, Salam, Sapa, Sopan dan Sayang. Program ini dianjurkan bersama dengan Unit Disiplin MPPPU.

Pelancaran Program tersebut telah disempurnakan oleh En.Zailan bin Zainuddin, Pegawai PPD (HEM) Pejabat Pelajaran Daerah, Batang Padang. Dalam ucapan, beliau menyeru seluruh warga sekolah umumnya agar bersama-sama menjayakan program sekolah penyayang. Hal ini kerana dengan perasaan saling menyayangi antara satu sama lain akan melahirkan budaya yang lebih sihat di sekolah.

Sabas dan tahniah kepada seluruh warga Pra-U SMK Khir Johari, Tanjong Malim dalam menjayakan program tersebut. Semoga amalan 5S akan menjadi budaya teras dalam kalangan warga Pra-U khasnya. Terima kasih kepada En.Zailan bin Zainuddin kerana sudi hadir ke program tersebut. Terima kasih juga kepada Tuan Pengetua, PK HEM, PK Kokurikulum, Pengurusan Pendidikan Khas, Unit Disiplin Sekolah kerana sudi hadir. [Foto]

4/05/2012

APLIKASI GOOGLE.DOC DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

4/05/2012
5 APRIL - Pada hari ini pihak Pengurusan Prauniversiti SMK Khir Johari, Tanjong Malim telah mengadakan kursus Aplikasi Google.Doc dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kursus ini dilaksanakan dalam tiga siri. Siri kedua pada 12 April dan Siri ketga pada 26 April 2012. Kusus dalaman ini dibahagikan kepada tiga modul iaitu; Aplikasi Document, Spreedsheet dan Slides/Form. Setiap modul kursus tersebut berlangsung selama satu jam setengah. Kursus disampaikan oleh En.Abd Malek bin Selamat.
Aplikasi Google.Doc dilihat sangat signifikan dalam pengurusan pendidikan hari ini. Empat aplikasi utama dalam Google.Doc dilihat dapat membantu memudahkan komunikasi secara maya antara para pelajar dan para guru. Hal ini menjadi semakin penting apabila STPM Baharu yang akan berlangsung tidak lama lagi, mengambil kira aspek Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dilaksanakan pada penggal kedua atau ketiga atau kedua-duanya. Dalam konteks tersebut, kerja kursus yang dilaksanakan secara individu akan dipantau, diselia serta dinilai penghasilannya oleh  guru-guru mata pelajaran. Sekiranya seorang guru dipertanggungjawabkan seramai 50 orang pelajar, maka aspek penyeliaan secara fizikal terlalu sukar untuk dilaksanakan. Justeru, melalui aplikasi Google.Doc, masalah tersebut dapat ditangani dengan sebaiknya. Apabila melalui "On screen communication" semua kerja pelajar yang dikongsi dengan guru dapat dilihat perkembangannya.
Terima kasih kepada En.Abd Malek yang sudi berkongsi "kepakaran" dengan guru-guru SMK Khir Johari, Tanjong Malim. Semoga melalui pendedahan tersebut akan  membuka lembaran baru dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

DISKUSI INTELEK BERSAMA JABATAN IMIGRESEN

4 April - Pada hari ini berlangsung sesi Diskusi Intelek Bersama Jabatan Imigresen Putrajaya. Seramai enam orang pegawai imigresen terlibat dalam menjayakan program tersebut diketuai oleh Tuan Mohd Zaidi bin Che Morad, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II, Bahagian Penguatkuasaan, Puutrajaya. Program tersebut dikelolakan oleh Exco Disiplin MPPPU.
Sesi diskusi tersebut berlangsung selama tiga jam dan ia banyak berkaitan dengan isu pemerdagangan dan penyeludupan manusia.
Terim kasih kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia atas kesudian menerima jemputan pihak kami. Begitu juga terima kasih kepada En.Khamdan bin Iskandar, Penolong PPD Kurikulum Kemanusiaan kerana turut hadir dalam program tersebut.

4/26/2011

PELANCARAN PROGRAM 2 DALAM SATU YANG MERIAH...

4/26/2011
26 APRIL 2011 (SELASA) - Majlis yang gilang gemilang iaiatu program pelancaran Portal MyGuru2 dan Penyerahan Pelajar kepada Penasihat Akademik telah diadakan dengan jayanya di Dewan Konvensyen E-Learning, UPSI. Portal MyGuru2 yang merupakan portal interaktif antara pensyarah dan pelajar yang merentas sempadan masa. Bagi memastikan para pensyarah pra-u serta pelajar mempunyai pengetahuan yang secukupnya untuk menggunakan portal tersebut, satu kursus khas telah diadakan sebelum majlis pelancaran dijalankan. Kursus tersebut dikendalikan oleh staf Pusat ICT UPSI.

Sebelum majlis pelancaran, ibu bapa dan para pelajar menerima perkongsian maklumat yang menarik bersama kaunselor pelajar, Pn.Effa Rina bt Mohd Matore berkaitan Inventori Personaliti Warna (IPW). Setiap pelajar telah melalui sesi inventori sebelum ini bagi mendapatkan personaliti berdasarkan warna-warna. Justeru dalam majlis ini pihak kauselor telah berkongsi maklumat berkaitan warna tersebut dengan ibu bapa. Tujuannya adalah untuk menjelaskan kepada ibu bapa bagaimanakah personaliti anak-anak mereka dan bagaimana untuk mengupayakan sikap-sikap yang ada pada diri anak-anak ke arah mencemerlangkan diri sendiri bagi menghadapi peperiksaan.

Semasa majlis pelancaran Portal MyGuru, Timbalan Pengarah Pusat ICT, Pn. Nurazizah bt Othman telah melancarkan gimik perasmian bersama tuan pengetua. Majlis yang ringkas tetapi sangat meriah. Sebelum pelancaran, para peserta dipertontontonkan tanyang rakaman video ucapan Pengarah Pusat ICT, Tn.Hj.Mohd Nazri bin Md Saad yang berada di Kedah secara dalam talian beberapa minit sebelum pelancaran dilaksanakan.

Setelah pelancaran dilaksanakan, para pensyarah pra-u menerima penyerahan pelajar dalam Program Penasihat Akademik. Upacara penyerahan tersebut dilaksanakan oleh Tuan Timbalan Pengarah Pusat ICT, UPSI. Sejurus selepas itu satu majlis beramah mesra antara PA dan ibu bapa diadakan bagi membincangkan tentang pencapaian anak-anak mereka semasa dalam ujian rasmi bulan Mac lepas.

Semoga program-program tersebut akan membantu mencapai matlamat purata PNGK 2.50 serta pencapaian 100% dalam STPM 2011.

4/22/2011

PRA-U SMK KHIR JOHARI TG.MALIM MELANGKAH SETAPAK LAGI

4/22/2011
Pihak pengurusan Prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim sangat berbesar hati apabila dipilih oleh Pusat ICT, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk terlibat sebagai sekolah rintis dalam pelaksanaan portal MyGuru2. Sehubungan dengan itu satu majlis pelancaran akan diadakan pada 26 April 2011 (Selasa) di Dewan Konvensyen, Aras 5, Pusat ICT.

Pada hari ini tiga orang pensyarah telah menerima taklimat di Pusat ICT, UPSI untuk tujuan pendedahan aplikasi tersebut sebelum semua pelajar dan staf akademik menerima kursus khas pada tarikh tersebut.

Ibu bapa turut dijemput hadir dalam majlis tersebut bagi mengikuti ceramah keibubapaan jyang akan dijalankan oleh unit bimbingan dan kaunseling sekolah.

Pada majlis yang sama para pelajar secara rasmi akan dimaklumkan Penasihat Akademik masing-masing.

4/20/2011

KARNIVAL KECEMERLANGAN SUKAN PRA-U 2011

4/20/2011
18 APRIL 2011 (ISNIN) - Syabas dan tahniah kepada AJK Pelaksana Karnival Kecemerlangan Sukan Pra-U, 2011 kerana telah berjaya melaksanakan program tersebut dengan jayanya. Beberapa jenis sukan telah dijalankan iaitu; bola tampar, bola jaring, bola sepak dan bola baling.

Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 4.30 petang. Semua pelajar pra-u 2 (6 atas) terlibat dan para pensyarah terlibat dalam menajyakan program tersebut. Antara lain, program tersebut diadakan bagi menyiapkan pasukan yang lebih mantap dalam menghadapi Karnival sukan pra-u di peringkat daerah yang akan dijalankan pada bulan Mei ini.

Tahniah sekali lagi dan terima kasih atas komitmen anda semua. Majulah sukan untuk pra-u SMK Khir Johari, Tg.Malim.

5/17/2010

SELAMAT HARI GURU 2010

5/17/2010
Hari Guru peringkat sekolah disambut secara sederhana tetapi meriah. Begitulah ungkapan bagi menggambarkan suasana sambutan hari guru yang diadakan pada hari ini. Seperti tahun-tahun yang lepas, hari guru dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pertama, sambutan di dataran perhimpunan. Acara dimulakan dengan perarakan guru-guru menuju ke dataran perhimpunan sambil dilingkungi barisan pelajar. Seterusnya majlis diserikan dengan ucapan perutusan KPPM yang disampaikan oleh E.Sivanesan (PK Kokurikulum) dan teks ucapan Menteri Pelajaran Malaysia disampaikan oleh En.Asris bin Ali (PK Tingkatan 6). YDP PIBG turut menyampaikan penghargaan kepada guru-guru yang sentiasa komited dalam membimbing pelajar. Tuan Pengetua turut menyampaikan amanat penting kepada guru dalam majlis tersebut.

Pelafazan ikrar hari guru disempurnakan oleh En.Abd Malek Selamat seterusnya nyanyian hari guru oleh guru-guru sidang pagi. Sejurus itu giliran para pelajar membuat persembahan. Selain daripada beberapa kumpulan nyanyian memepersembahkan persembahan mereka, nyanyian solo, deklamasi sajak dan persembahan sketsa turut mengisi slot persembahan pelajar.

Sambutan hari guru turut diceriakan dengan beberapa acara sukan dan permainan. Acara bola tampar guru lelaki menentang pasukan pelajar serta acara melancarkan roket air.

Acara penutup sambutan hari guru 2010 diadakan di dewan sekolah. Majlis jamuan makan serta memotong kek hari guru disempurnakan oleh tuan pengetua. Sambil itu cenderamata hari guru kepada semua guru disampaikan oleh tuan pengetua.

Syabas dan tahniah kepada semua guru. Semoga kita akan lebih bersemangat dalam menjayakan misi nasional ini... "Guru Pembina Negara Bangsa".. [FOTO]

5/14/2010

PROGRAM GOTONG-ROYONG

5/14/2010
Pada pagi tadi semua pelajar pra-u 1 terlibat dalam aktiviti gotong-royong memperbaiki kerusi meja yang akan digunakan dalam bilik kuliah. Aktiviti tersebut sekurang-kurangnya dapat menambah bilangan meja dan kerusi yang sememangnya sangat berkurangan terutanmanya dengan kehadiran para pelajar pra-u 1.

Walaupun bilangan kerusi meja masih belum mencukupi, setidak-tidaknya ia dapat menampung sebahagian pelajar yang akan memulakan kuliah pada hari selasa hadapan. Usaha juga dilakukan bagi mendapatkan lebihan meja dan kerusi dari kelas-kelas lain. Foto lain lihat di sini

5/13/2010

BERAKHIR SUDAH MINGGU ORIENTASI...

5/13/2010
Syabas dan tahniah kepada para pelajar pra-u 1 yang telah melalui program orientasi dengan jayanya. Beberapa program bagi mendekatkan para pelajar baru ini kepada senario pembelajaran di tingkatan enam telah dilaksanakan dengan bantuan para pelajar pra-u 2.

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada jawatankuasa minggu orientasi di bawah penyeliaan Pn.Suriyani Ujang serta Exco Majlis Perwakilan Pelajar Pra Universiti (MPPPU) kerana berjaya menyusun program dengan lancar dan teratur.

Terima kasih juga diucapkan kepada para pensyarah pra-u yang terlibat dalam memberi taklimat berkaitan dengan mata-mata pelajaran STPM. Melalui taklimat yang diberikan para pelajar dilihat sangat memberi manfaat kepada mereka. Foto lihat di sini.

5/10/2010

SELAMAT DATANG PARA PELAJAR BARU SEMESTER 1

5/10/2010
Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada para pelajar baru semester 1 2010/2011 yang mendaftar di pusat Prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim. Sehingga kini seramai 85 orang pelajar telah mendaftarkan diri masing-masing.

Selain daripada para pelajar SMK Khir Johari sendiri, para pelajar tersebut juga berasal dari beberapa buah sekolah di sekitar Tg.Malim, iaitu SMK Methodist Tg.Malim, SMK Dato' Zulkifli Muhammad, Slim River, SMK Slim, Slim River, SMK Agama, Slim River dan beberapa buah sekolah lain luar daerah Batang Padang.

Selepas majlis pendaftaran, majlis perasmian minggu orientasi disempurnakan oleh Tuan Pengetua Cemerlang SMK Khir Johari, Tg.Malim, Pn.Hjh.Noraini binti Yeub Sidi. Minggu orientasi akan berlangsung sehingga 14 Mei 2010 (Jumaat)

Kepada para pelajar luardiharap segera menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang baru serta memanfaatkan program orientasi bagi mengenali budaya sekolah ini.

4/21/2010

PROGRAM MOTIVASI DAN PELANCARAN MENTOR-MENTEE

4/21/2010
Pelbagai usaha sedang dijalankan bagi memastikan pencapaian STPM 2010 lebih baik berbanding pencapaian STPM 2009. Kedua-dua aspek (kualiti dan kuantiti) mesti dipertingkatkan. Begitulah harapan yang terus disemarakkan oleh tuan pengetua sewaktu merasmikan Program Mantor-Mentee yang diadakan di bilik kuliah A, Pra Universiti, SMK Khir Johari, Tg.Malim. Program tersebut dianjurkan oleh tiga pihak iaitu; Pengurusan Prauniversiti, Unit kaunseling dan PIBG.

Antara objektif program tersebut ialah guru-guru (mentor) diharap akan dapat membantu para pelajar secara lebih mendalam, daripada permasalahan akademik sehingga persoalan non akademik. Setiap mentor akan mendapat seramai 4 hingga 5 orang mentee. Justeru, diharap mentor akan dapat menjalankan peranan mereka dengan lebih berkesan. Pelaksanaan program tersebut melibatkan modul yang disusun oleh unit kaunseling sekolah. Ia dijangka akan melalui 8 sesi perjumpaan.

Sebelum pelancaran program mentor-mentee, program motivasi turut diadakan oleh unit kaunseling sekolah. Ia merupakan sesi aktiviti dalam kumpulan berdasarkan tayangan video klip. Program tersebut diakhiri dengan sesi pembentangan kesemua kumpulan. Tahniah kepada semua pelajar yang menampakkan minat yang tinggi dalam sesi pembentangan tersebut.

Harapan semua guru dan tuan pengetua, semoga aktiviti tersebut akan dapat memantapkan lagi usaha bagi mencapai misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum pada tahun 2010.

Terima kasih kepada tuan pengetua kerana sudi hadir dan seterusnya melancarkan program tersebut. Terima kasih yang tidak terhingga kepada unit bimbingan dan kaunseling sekolah atas kesudian menjalankan program motivasi dan menyediakan modul pelaksanaan program mentor-mentee tersebut.

4/14/2010

TAKLIMAT VOLUNTARY AID DETACHMENT (VAD)

4/14/2010
Usaha untuk menubuhkan satu unit beruniform khusus bagi para pelajar prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim tetap diteruskan walaupun usaha untuk menubuhkan Pasukan Relawan Sekolah menemui jalan buntu. Justeru pengurusan pra-u telah memohon kepada JPN Perak untuk menubuhkan unit VAD atau Voluntary Aid Detachment bagi menggantikan Pasukan Relawan Sekolah.

Justeru, pada hari ini bertempat di bilik kuliah A, satu sesi taklimat antara pihak BSMM Cabang Tanjong Malim/ Slim River dengan para pelajar telah diadakan. Taklimat tersebut disampaikan oleh Majer (RC) Mohd Fais bin Jamil, Setiausaha Kehormat Cabang Tg.Malim/ Slim River. Antara perkara yang disentuh oleh beliau ialah, kedudukan BSMM dalam konteks perundangan negara, struktur organisasi VAD serta beberapa perkara yang lain.
Secara umumnya para pengajar dan pelajar berpuas hati dengan taklimat yang disampaikan. Oleh itu langkah seterusnya ialah proses penubuhan VAD pra-u SMK Khir Johari, Tg.Malim yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan pra-u dan pihak cabang.

Namun begitu, kursus yang melibatkan Sijil Pendidikan Kesihatan dan Sijil Sejarah Palang Merah/ Bulan sabut Merah dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa akan dimulakan tidak lama lagi. Kedua-dua sijil tersebut memerlukan sejumpah 14 jam kuliah dan peperiksaan. Sijil bagi kedua-dua peperiksaan tersebut diiktiraf di peringkat kebangsaan.

Semoga usaha ini akan dapat memenuhi keperluan para pelajar bagi mendapat 10% markah kokurikulum sewaktu memohon kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam nanti.

4/01/2010

LAWATAN KE PERPUSTAKAAN TUANKU BAINUN

4/01/2010
Para pelajar prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim pada patang ini telah berkesempatan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg.Malim. Seramai 61 orang pelajar terlibat berserta 10 orang guru dalam program lawatan sambil belajar tesebut.

Taklimat berkaitan perpustakaan tersebut disampaikan oleh En.Afzanizam b. Dullah Hashim. Sejurus selesai para pelajar dan guru dipelawa menyertai "library tour". Program ini menjelaskan secara lebih dekat bagaimana sistem dan pengurusan perpustakaan dilaksanakan.

Terima kasih kepada pengurusan Perpustakaan Tuanku Bainun atas kesudian menerima kunjungan kami. Sesungguhnya banyak maklumat yang diperolehi dan sekurang-kurangnya satu persepsi baru terbentuk dalam minda para pelajar dan guru bahawaperpustakaan universiti sebenarnya sangat mesra pengunjung. Ia bukan sebuah institusi yang eksklusif malah membuka peluang penduduk setempat datang dan memanfaatkan bahan-bahan serta dokumentasi yang ada untuk sama-sama dimanfaatkan.

3/15/2010

PERKHEMAHAN PERDANA KOKURIKULUM

3/15/2010
Perkhemahan Perdana Kourikulum Pra-U SMK Khir Johari, Tg.Malim 2010 telah sempurna ditutup pada pukul 1.00 petang tadi. Majlis yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini ditutup secara rasmi oleh Pn. Noor Zarimah binti Mohd Zain, Penolong Pengurus Bank Rakyat Cawangan Tg.Malim.

Pendaftaran peserta berlangsung sekitar jam 3.30 petang sehingga 5.00 petang. pada hari Jumaat (12 Mac 201). Seramai 61 orang pelajar pra-u (atas) terlibat dalam perkhemahan ini. Antara pengisian utama program tersebut ialah, pada malam pertama diadakan persembahan kebudayaan tiga kaum utama di negara kita iaitu kaum Melayu, Cina dan India semasa majlis pertunangan dan perkahwinan. Persembahan tersebut dikelolakan oleh Persatuan Bahasa Pra-U.

Pada hari kedua, diadakan pula progam khidmat masyarakat dengan mengadakan lawatan ke wad-wad di Hospital Slim River (HSR). Antara wad yang terlibat ialah wad kanak-kanak, prenatal dan antenatal, lelaki, perempuan dan unit forensik. Sebelum sesi lawatan ke wad-wad, diadakan sesi taklimat oleh En. Md Abdul Razak bin Zainal, Penyelia Hospital, HSR.

Pada petangnya, sesi khas bersama tuan pengetua cemerlang SMK Khir Johari, Tg.Malim, Pn.Hjh Noraini binti Yeub Sidi, AMN, turut diadakan. Dalam pertemuan tersebut tuan pengetua membentangkan analisis pencapaian daerah dan sekolah dalam peperiksaan STPM 2009 negeri Perak. Selain daripada itu tuan pengetua turut menyatakan harapan yang tinggi kepada para pelajar pra-u (atas) dalam peperiksaan STPM 2010 agar meraih kejayaan yang lebih cemerlang berbanding para calon STPM 2009.

Sejurus tamatnya sesi bersama tuan pengetua, para peserta perkhemahan terlibat dalam aktiviti berhalangan di kawasan padang sekolah. Aktiviti tersebut dikendalikan oleh para helpers iaitu lebih kurang 10 orang pelajar tingkatan enam atas 2009. Antara lain aktiviti tersebut bertujuan untuk menguji ketahan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran dan rintangan.

Setelah usai solat maghrib berjamaah, diadakan pula majlis tazkirah yang disampaikan oleh En.Che Soh bin Said, pensyarah UPSI. Dalam majlis tersebut beliau menekankan kepentingan pembinaan jiwa yang mantap (jati diri) dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang terlalu mencabar.

Selepas solat Isya' program bersama kaunselor pula mengambil giliran. Slot tersebut disampaikan oleh Pn. Norhayati binti Zakaria, Kaunselor Cemerlang, SMK Khir Johari, Tg.Malim. Slot yang tidak kurang pentingnya berkaitan dengan panduan menghadiri temu duga.

Hari ketiga diisi hampir sepenuhnya dengan aktiviti "Untaian Kasih" iaitu aktiviti derma darah. Para pegawai perubatan dari HSR datang bagi menjalankan aktiviti tersebut. Sebelum aktiviti derma darah berlangsung, sesi ceramah berkaitan dengan kempen anti merokok yang disampaikan oleh En. Sharif. Sambutan program derma darah sangat menggalakkan. Seramai 31 orang pelajar, guru dan ibu bapa terlibat dalam aktiviti tersebut. Menurut pihak Unit Tabung Darah HSR, ia melepasi target yang ditetapkan iaitu seramai 20 orang. Walau bagaimanpun sejumlah pelajar dan guru tidak dapat menyumbangkan darah mereka disebabkan gagal melepasi saringan yang ditetapkan. Antara halangan yang dihadapi ialah; kurang berat badan, kandungan glukos dalam darah yang berlebihan dan beberapa masalah lain.

Memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan, proses menderma darah diteruskan walaupun majlis penutupan perkhemahan berlangsung. Proses menderma darah ditutup sepenuhnya sekitar jam 1.30 petang.

Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang menjayakan program Perkhemahan Perdana Kokurukulum Pra-U 2010. Semoga ia memberi impak yang positif kepada para peserta. Semoga aktiviti sebegini akan dapat diadakan pada masa-masa yang akan datang.

3/11/2010

KAUNTER INFORMASI PRA-U

3/11/2010
Pengurusan Prauniversiti SMK Khir Johari, Tg. Malim pada hari ini mengambil insiatif untuk turut serta membuka kaunter informasi berkaitan dengan pengajian pra-u atau tingkatan enam kepada para calon SPM yang mengambil keputusan di dewan sekolah.

Inilah julung kalinya pihak pengurusan pra-u mengambil inisiatif tersebut. En.Asris Ali, Penolong Kanan Pra-U, SMK Khir Johari, Tg. Malim berserta beberapa orang pelajar Pra-U (Atas) berada di kaunter informasi bagi melayan pertanyaan para pelajar berkaitan dengan pengajian di pra-u. Selain daripada itu para pelajar mendapat prospektus khas pengajian pra-u sebagai rujukan. Semoga dengan kaunter informasi tersebut akan mendekatkan para pelajar dengan pengajian pra-u di SMK Khir Johari, Tg. Malim.

Walau bagaimanapun bagi pelajar yang tidak berkesempatan mengunjungi kaunter informasi tersebut bolehlah ke bilik pengurusan pra-u di aras bawah blok F (Blok tiga tingkat) untuk mendapatkan brosur prospektus khas pengajian di pra-u SMK Khir Johari, Tg. Malim.

PERKHEMAHAN KOKURIKULUM PERDANA 2010

Perkhemahan Kokurikulum Perdana Prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim akan diadakan pada 12-14 Mac 2010 (Jumaat hingga Ahad). Sukacita dimaklumkan kepada guru-guru SMK Khir Johari, Tg. Malim, ibu bapa dan penjaga dipelawa dan diundang hadir ke program derma darah yang akan diadakan pada hari Ahad (14 Mac 2010) bermula jam 9.00 pagi.

Pegawai-pegawai dari Unit Tabung Darah Hospital Slim River akan berkunjung ke SMK Khir Johari, Tg. Malim bagi melaksanakan program tersebut. Selain daripada itu semua peserta perkehamahan dan para hadirin boleh membuat pemeriksaan kesihatan percuma termasuklah pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah, Body Mass Index (BMI) dan kandungan kolestrol. Semoga program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak.

Jika tiada aral, majlis penutupan perkhemahan akan disempurnakan oleh Pengurus Bank rakyat Cawangan Tg. Malim.

2/25/2010

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PUTRAJAYA

2/25/2010
Pada hari ini seramai 61 orang pelajar prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim berserta 7 orang pensyarah telah terlibat dalam menjayakan lawatan sambil belajar sehari ke Putrajaya. Destinasi lawatan ialah ke Jabatan Perangkaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perjalanan ke Putrajaya bermula sekitar jam 7.30 pagi. Sampai di Jabatan Perangkaan Malaysia (Statistics) lebih kurang pukul 9.30 pagi. Semasa berada di Statistics, taklimat disampaikan oleh YM Raja Zainab bint Raja Sabaradin, Penolong Pengarah, Bahagian Korporat dan Khidmat Pengguna. Antara pengisian penting dalam taklimat yang disampaikan oleh beliau, mencakupi peranan dan tanggungjawab Statistics dalam menyampaikan maklumat perangkaan negara sama ada kepada pihak jabatan dan agensi kerajaan, swasta atau para individu. Sebelum sesi taklimat, pihak kami disajikan dengan tayangan video koporat Statistics.

Menjelang 2.30 petang, kami telah berada di SPRM. Sesi taklimat disampaikan oleh salah seorang pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat. Manakala sesi kedua merupakan persembahan bermesej. Ia merupakan persembahan ceramah bergitar oleh En. Mohd. Radzi bin Omar. satu persembahan yang unik kerana tidak terfikir oleh para peserta rombongan bahawa di SPRM juga ada persembahan yang sedemikian rupa. Kami meninggalkan SPRM sekitar 5.30 petang.

Sebelum bertolak pulang, kami sempat singgah sebentar di Alamanda , sebuah pusat membeli belah yang terbesar di Putrajaya.

Terima kasih kepada pihak Statistics dan SPRM atas layanan yang diberikan. Semoga kita akan berjumpa lagi di lain kesempatan.

12/11/2009

MESYUARAT PRA AWAL TAHUN 2010

12/11/2009
Pada hari ini telah berlangsung Mesyuarat Pra Awal Tahun Pengurusan Tingkatan Enam 2010 yang diadakan di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh En.Asris bin Ali, Penolong Kanan Tingkatan Enam.
Mesyuarat yang berlangsung lebih kurang dua jam setengah itu memperincikan Senarai Tugas Pengurusan Tinkatan Enam 2010 dan jadual pembelajaran untuk kesemua kelas, termasuklah tingkatan enam rendah yang akan memulakan sesi pembelajaran pada bulan Mei 2010.
Selebihnya mesyuarat membincangkan beberapa perkara yang masih belum jelas berkaitan dengan perjawatan serta surat PELAKSANAAN PENGURUSAN TINGKATAN 6 TAHUN 2010 yang bertarikh 7 Disember 2009.
Mengikut En.Asris, mesyuarat bersama dengan Tuan Pengetua akan diadakan selepas sesi persekolahan dibuka. Oleh itu beberapa perubahan dalam senarai tugas akan dibuat dan seterusnya perlu disahkan oleh Tuan Pengetua sebelum dimuatkan dalam laman ini.

11/28/2009

ARISE 2009

11/28/2009
14 November 2009 (Sabtu)
Pada jam 4 ptg kami pelajar tingkatan 6 rendah seramai 10 orang menunggu bas dari upsi . Sebanyak 4 buah sekolah yang terlibat di daerah batang padang negeri perak. Pendaftaran peserta program pada jam 5.00 ptg di dewan kolej ungku omar yang juga menjadi tempat penginapan kami selama 4 hari 3 malam. Para peserta diberi minuman petang dan taklimat program disampaikan oleh Pn. Marini Masdar iaitu setiausaha dan urusetia program ARISE 09. Para peserta dibahagikan tempat penginapan. Pada jam 7 pula peserta perlu berpakaian formal untuk makan malam dan solat magrib. Pada jam 9 pula mulanya aktiviti pertama peserta iaitu ice-breaking yang dikendalikan oleh En. Abd Aziz Yatim adalah bertujuan untuk mengenali rakan-rakan yang lain. Selepas itu pembahagian kumpulan dijalankan. Setiap kumpualan mempunyai 5 org ahli yang terdiri dari keempat-empat buah sekolah. Sesi ice-breaking berakhir pada jam 11 malam dan kesemua peserta diberi minuman ringan dan seterusnya pulang ke tempat penginapan masing-masing.

15 NOV 09 (Ahad)

Pada hari kedua pula kami diberi sarapan pagi pada jam 7 di dewan KUO. Selepas selesai sarapan pagi kami dibawa ke kampus UPSI menaiki bas. Kami menuju ke Atrium Canselori. Disitu berlangsungnya majlis perasmian yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohammed Zin Nordin. Beliau merupakan Pengarah Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa. Terdapat juga permainan yang diaturkan untuk kami antaranya, permainan tonji dan ma phua ko ye. Permainan ini berasal dari korea dan ianya dikatakan dapat menjadikan diri kita focus sebelum melakukan sesuatu kerja. Terdapat juga aktiviti team building. Kepada peserta yang aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan akan mendapat sticker yang berwarna hijau. Jika salah seorang peserta melakukan kesalahan dalam aktiviti yang dijalankan peserta tersebut akan diberi sticker berwarna merah sebagai penalti. Bagi peserta yang mengumpul banyak sticker bewarna hijau melebihi 7 sticker peserta tersebut akan dianugerahkan gelaran Dato, dan sekiranya sticker tersebut bertambah dari semasa ke semasa peserta tersebut akan diberi pangkat yang lebih tinggi. Seterusnya pada jam 1.00 ptg kami diberi makan tengahari dan menunaikan solat zuhur bagi yang beragama Islam. Pada jam 2.00 pula terdapat pula pengurusan majlis dan protocol di bawah pengelolaan Pn. Marini Masdar. Kami diajar cara-cara atau protocol dalam mengendalikan sesuatu majlis. Setiap kumpulan diberikan tugasan dalam menerangkan protocol atau etika dalam mengendalikan sesuatu majlis antaranya etika menyambut tetamu, etika ketika makan, etika berpakaian dan sebagainya. Aktiviti ini berakhir pada jam 4.00 ptg dan kami diberikan minuman petang dan menunaikan solat asar. Pada jam 5.00 pula aktiviti explorace kami terpaksa dibatalkan memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kami untuk menjalankan aktiviti tersebut. Aktiviti explorace diganti dengan aktiviti yang lain yang diuruskan oleh fasilitator kami yang juga merupakan pelajar UPSI. Setelah selesai aktiviti tersebut kami dibawa pulang ke tempat penginapan kami dan bersiap untuk makan malam dan solat magrib. Pada jam 8.00 mlm pula terdapat aktiviti kenali budaya tradisi dibawah pengelolaan En. Nurfaizal Fariz Sahdan iaitu Pusat Kebudayaan HEP. Para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai tenaga pengajar yang berbeza kumpulan satu diajar tentang lakonan, kumpulan kedua pula diajar tentang tarian dan kumpulan yang terakhir diajar cara-cara untuk membuat tanjak atau tengkolok. Aktiviti tersebut berakhir pada jam 11.00 malam dan kami diberi minuman ringan sebelum pulang ke bilik masing-masing.

16 NOV 09 (ISNIN)

Pada hari yang seterusnya kami berkumpul di dewan kolej ungku omar pada jam 7.00 pagi dan bersarapan. Pada jam 8.00 pula kami dibawa ke kampus UPSI dimana kami akan dibawa ke tempat Pottrey untuk diajar cara membuat tembikar. Setiap peserta diberi peluang untuk membuat tembikar hasil daripada tangan sendiri. Kami diajar oleh En. Amir Hashim. Setelah selesai membuat tembikar kami menuju ke perpustakaan tengku bainun untuk minuman ringan. Setelah selesai, kami menuju ke fakulti muzik. Disana kami dikenalkan dengan alat muzik tradisional dan alat muzik moden. Kami juga berkesempatan untuk memainkan alat-alat muzik tersebut. Pada jam 12.00 tgh hari kami dibawa ke makmal multimedia untuk membuat tugasan berkumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki membuat laporan untuk setiap aktiviti yang dijalankan. Laporan tersebut akan dihantar dan dinilai laporan mana yang terbaik sekali. Pada jam 1.00 pula kami dibawa ke perpustakaan tungku bainun untuk makan tengah hari dan menunaikan solat zohor. Setelah selesai makan dan solat kami kembali semula ke makmal multimedia untuk aktiviti yang seterusnya. Aktiviti kali ini kami diajar bengkel penulisan, asas fotografi dan asas publisher oleh En. Ghazali Din, Cik Nurul Hazniza Mohd. Rashid dan En. Akmanizam Abd. Latiff. Kami diajar untuk menggunakan publisher untuk membuat bulletin dan cara yang btul untuk menangkap gambar. Pada jam 4.00 kami diberi minuman petang dan menunaikan solat asar di Atrium Canselori. Setelah itu, kami diperkenalkan dengan majlis perwakilan pelajar UPSI dan melakukan aktiviti senaman poco-poco bersama mereka. Pada jam 7.00 kami dibawa pulang ke tempat penginapan masing-masing untuk bersiap makan malam dan aktiviti yang seterusnya. Pada jam 8.00 mlm pula, kami dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk membuat perancangan persembahan. Persembahan ini akan kami persembahkan pada perasmian penutup ARISE 2009. Perancangan persembahan berakhir pada jam 11. Sebelum kami dibenarkan pulang ke bilik masing-masing, satu lagi aktiviti telah diadakan. Aktiviti ini adalah mengenai hukuman yang perlu dilakukan oleh peserta yang melakukan kesalahan sepanjang aktiviti yang dijalankan. Kami juga diberitahu agar mengemaskan semua barang-barang kami kerana pada esok hari merupakan hari terakhir kami kesemua berada di kolej ungku omar ini. Kami dibenarkan pulang ke bilik masing-masing pada jam 12.00 malam.

17 NOV 09 (SELASA)

Pada jam 7.00 pagi kami semua berkumpul dan menaiki bas menuju ke Tasik Proton City. Kami akan bersarapan di Tasik Proton City dan dibahagikan kepada 2 kumpulan untuk aktiviti yang akan dijalankan pada pagi itu. Pada pagi itu kami akan melakukan aktiviti Orienteering dan water rafting. Kami akan berkayak di tasik proton city tersebut. Sebelum aktiviti ini dijalankan, kami melakukan aktiviti memanaskan badan. Aktiviti ini dibawah En. Yusop Ahmad dari Fakulti Sains Sukan. Selama 2 jam kami berada disitu dan ianya merupakan pengalaman yang menarik. Kami menggunakan masjid di Proton City tersebut untuk membersihkan diri kami setelah pakaian kami semua basah disebabkan aktiviti yang kami lakukan tadi. Pada jam 10.00 pagi, kami menuju ke kampus UPSI dimana kami akan ke makmal multimedia 3 untuk menyiapkan buletin yang diberikan oleh setiap kumpulan. Setelah selesai menyiapkan tugasan tersebut, jam 1.00 ptg kami diberi makan tengahari di Piazza perpustakaan tungku bainun dan menunaikan solat zuhur. Pada jam 2.30 kami dikehendaki berkumpul di bilik serbaguna 1 perpustakaan tungku bainun. Disitu berlangsungnya perasmian penutup ARISE 09 yang dirasmikan oleh Y.Bhg. Dr. Mohd. Sani Madon. Majlis perasmian tersebut dikendalikan oleh peserta-peserta program ARISE yang telah dipilih dan sukarela untuk mengendalikan majlis perasmian tersebut. Majils perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu negaraku dan bacaan doa. Seterusnya ucapan wakil bahagian hubungan korporat dan antarabangsa dan ucapan ketua peserta program ARISE 09. Setelah itu ucapan perasmian penutup oleh Y.Bhg. Dr. Mohd. Sani Madon dan majlis perasmian penutup dimeriahkan lagi dengan persembahan keempat-empat kumpulan peserta program ARISE 09. Kumpulan yang member ikan persembahan yang terbaik akan diberi hadiah dan majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian cenderamata dan siji kepada semua peserta ARISE 09. Terdapat peserta dan kumpulan yang memenangi anugerah tertentu seperti peserta dan kumpulan paling aktif, kreatif, inovatif dan sebagainya. Terdapat 10 anugerah yang dipertandingkan bagi setiap peserta dan kumpulan. Majlis perasmian penutup diakhiri dengan majlis bergambar untuk kenangan program ARISE 09 dan jamuan petang di Piazza perpustakaan tungku bainun. Majlis perasmian ini berakhir pada jam 5.00 ptg. Kesemua peserta ARISE 09 dibawa menaiki bas untuk pulang ke tempat masing-masing. Pengalaman yang setiap peserta dapat di program ARISE ini akan dikongsi bersama dengan pelajar-pelajar yang lain.

Tamat……

Catatan: Alia Nadhirah

 

LAMAN PRA UNIVERSITI DI SANA SINI

BLOG MANTAN PELAJAR

Followers

PENAFIAN

Dimaklumkan bahawa laman ini merupakan laman rasmi Pra Universiti SMK Khir Johari Tanjong Malim. Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap artikel atau bahan yang dipaparkan dalam laman ini. Walau bagaimanapun kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kehilangan maklumat hasil daripada apa-apa juga transaksi yang melibatkan laman ini. Sekian terima kasih.

HUBUNGI KAMI


PUSAT PENGAJIAN PRAUNIVERSITI,
SMK KHIR JOHARI, 35900 TG.MALIM,
PERAK DARUL RIDZUAN
TEL: 05-4596334
FAKS : 05-4582454
EMAIL:
t6kjtm@gmail.com

BLOG TENAGA PENGAJAR

PAUTAN AKADEMIK

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM Copyright © 2009 DarkfolioZ is Designed by Bie Blogger Template for Ipietoon
In Collaboration With fifa