09 Mei 2011 (Isnin) - Pendafataran para pelajar baru pra-u di SMK Khir Johari, Tg.Malim pada hari ini berjalan dengan lancar. Walaupun masa pendaftaran bermula pada pukul 9.00 pagi, tetapi para pelajar mulai datang sekitar pukul 8.00 pagi. Sehingga sesi pendaftaran ditutup untuk hari pertama seramai 123 orang pelajar telah mendaftarkan diri. Oleh sebab dewan sekolah dalam proses untuk dirobohkan bagi projek pembinaan bangunan baru empat tingkat, maka lokasi pendaftaran diadakan di dewan kuliah B, pra-u. Walaupun saiz ruang agak sempit, tetapi ia tidak menghalang sesi pendaftaran berjalan dengan lancar.
Pada tahun ini, pengurusan pra-u SMK Khir Johari, Tg.Malim maju selangkah kehadapan apabila buat pertama kalinya proses pendaftaran dijalankan secara dalam talian. Para pelajar di minta mengisi borang terlebih dahulu sebelum sesi proses pendaftaran dilakukan oleh para AJK Pendaftaran. Oleh sebab ini pertama kali sistem serupa ini dilakukan maka ada beberapa kelemahan sistem dikenal pasti. Umpamanya tenaga kerja yang ramai diperlukan untuk memudahkan sesi pendaftaran. Pada mulanya hanya seramai lima laptop dan netbook digunakan. Namun, menjelang pukul 11.30 pagi hanya sekitar 50 orang sahaja yang berjaya didaftarkan, maka dua orang lagi petugas ditambah. Proses pendaftaran berjaya sepenuhnya sekitar pukul 1.00 petang.
Tahniah kepada para pelajar baru yang bersedia menyahut cabaran untuk meneruskan pengajian di pra-u SMK Khir Johari, Tg.Malim. Genggam bara api biar jadi arang. Alang-alang menjeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jangan berhenti di pertengahan jalan. Sesungguhnya laluan untuk ke program Ijazah di IPTA sangat terbentang luas di hadapan anda. Namun, dengan syarat perlu berusaha gigih untuk mencapai kejayaan tersebut.
Kepada AJK Minggu Pendaftaran dan Suai Kenal, tahniah atas komitmen yang ditunjukkan. Kami memahami hambatan waktu yang ditanggung, namun persiapan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun terpaksa juga digalas. Harap dapat mengangihkan masa yang sewajarnya untuk menggalas dua tugas sekali gus. Semoga dalam tempoh seminggu ini, program suai kenal akan berlangsung dengan lancar serta persiapan menghadapi peperiksaan juga tidak dikesampingkan.